Walaupun sudah lama dilancarkan, Proton Exora Bold sebenarnya antara entri yang tertinggi mendapat carian di dalam geartinggi.com, mengalahkan Proton Preve. Kesimpulan mudah yang boleh dibuat ialah, kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut ‘makan dalam’. Walaupun sudah lama dilancarkan popularitinya sentiasa konsisten. Tambahan pula Proton Exora Bold dilihat sebagai MPV yang didatangkan di dalam satu pakej yang menarik iaitu luas, bekuasa, ada gaya dan pada harga yang berpatutan.
Pandu uji ini sebenarnya sudah lama dilakukan bahkan sesi pandu uji paling lama pernah saya rasai. MPV ini dipandu ke Sintok hingga ke sempadan Thailand selama seminggu dengan jarak perjalanan melebihi 1000 km. Sewaktu Exora Bold CFE dilancarkan, saya sempat memandu uji dalam masa yang singkat. Waktu itu, apa yang melekat di dalam kepala ialah sistem suspensinya yang lembut dan macam perahu. Selang beberapa bulan saya berkesempatan duduk semeja dengan jurutera yang bertanggung jawab dalam membangunkan sistem suspensinya. Kata beliau, dalam banyak-banyak reviu yang dibaca, hanya GearTinggi.com tidak berkenan dengan sistem suspensi Exora Bold. Memandangkan saya masih lagi berada di dalam kategori Mat Belia yang biasa dengan kereta ‘slammed’ jadi beliau faham citarasa peribadi tersebut.
Pandu uji kali kedua ini merupakan peluang kedua untuk saya mengenali dengan lebih mendalam MPV nasional itu. Memasuki Exora Bold, ambiennya adalah seperti mana-mana kereta Proton, rekaannya cantik tetapi dengan penjimatan kos. Ruang interior yang besar menjadikan banyak bahagian terdedah menampakkan material yang dipilih. Walaupun bahagian utama seperti stereng, kerusi dan panel pintu dibalut dengan kulit namun plastik keras masih lagi mendominasi ruang interior. Apa boleh buat, material tersebut adalah standard industri yang digunakan pada kebanyakan kenderaan. Interior yang sedap disentuh mungkin adalah objek mewah sekarang ini.
Rekaan panel meter Exora Bold cantik dan ringkas namun informasi digitalnya biasa sahaja jika disandarkan pada zaman gajet dan aplikasi yang menguasai kehidupan harian pengguna sekarang ini. Informasi digital pada Proton Preve lebih menarik tetapi model itu lebih lewat dilancarkan yang membolehkan penggunaan ciri-ciri tersebut. Walau bagaimanapun mungkin Proton boleh menambah baik dengan mengantikan pemain cakera padat dengan unit boleh sentuh seperti pada Proton Satria Neo R3 baharu. Tambahan pula paparan kamera undur pada cermin pandang belakang agak kecil dan tidak puas dipandang. Pemain video untuk penumpang belakang juga lemah apabila sistem audionya disambung menggunakan frekuensi radio. Sewaktu hujan, terdapat ‘sindrom semut masuk speaker’.
Untuk sebuah MPV, memandu Proton Exora Bold adalah suatu pengalaman yang boleh dibanggakan. Exora Bold sememangnya dibangunkan untuk pemanduan jarak jauh. Kerusi pemandu yang didatangkan standard dengan perehat lengan agak selesa. Begitu juga dengan kerusi penumpang barisan kedua, walaupun penyandar belakang hanya setakat bahu orang dewasa dan tidak empuk sangat pada pertama kali merasainya namun lama-kelamaan terasa selesa. Kerusi barisan ketiga pula adalah tipikal MPV yang mana cukup syarat sahaja, sekadar memadai untuk kanak-kanak. Bagi mereka yang memerlukan kerusi selesa berbanding ruang, pilih sahaja Exora Bold Prime dengan kerusi barisan kedua berasingan.
Berbeza dengan pengalaman pandu uji singkat selepas baru dilancarkan, sistem suspensi Exora Bold dapat diadili dengan lebih sempurna. Pada laluan lebuh raya, MPV itu stabil dan selesa. Terasa juga lembut tetapi ini adalah talaan yang paling sesuai untuk sebuah MPV. Stabil di lebuh raya dan selesa untuk keluarga. Di selekoh, prestasi Exora Bold adalah tipikal kereta Proton cuma ianya lebih tinggi berbanding model sedan. Selain daripada itu, pemandu turut diraikan dengan prestasi enjin CFE yang tidak lelah dalam memberikan input bertenaga. Badan MPV yang berat terasa ringan terutama sekali pada kelajuan rendah yang sinonim dengan enjin CamPro. Memotong kenderaan atau mendaki bukit tidak menjadi masalah malah menurut pendapat seorang rakan, memandu Exora Bold terasa seperti bukan kereta Proton!
Daripada segi bahan api pula, tahap penggunaannya biasa-biasa sahaja bahkan agak menjimatkan jika dipandu dengan kelajuan sederhana di lebuh raya. Walau bagaimanapun ianya berbeza untuk pemanduan di dalam bandar dan agak kerap juga saya berhenti di stesen minyak.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah Proton Exora Bold CFE mempunyai senarai kelebihan yang cukup untuk menjadikannya sebuah MPV yang sempurna. Ciri-ciri keselamatannya banyak, saiznya elok untuk sebuah keluarga sederhana, pemanduan dan pengendaliannya bagus, enjin yang berprestasi, rekabentuk yang menarik dan dengan harga yang berpatutan. Iya, MPV ini mempunyai beberapa kelemahan seperti material yang terasa sangat plastik namun banyak lagi kelebihan lain yang mengatasi kelemahan yang ada. Di dalam pasaran domestik, Proton Exora Bold adalah opsyen terbaik di dalam kelasnya.
Dengar kata, Proton sudah pun membuat kajian awalan mengenai model gantian Proton Exora. Rasanya ramai yang mahukan MPV seperti Perodua Alza dan Toyota Wish. Benar, beberapa tahun akan datang ramai Mat Belia yang sudah menjadi Mat Famili. Ciri-ciri model gantian tersebut perlulah bersesuaian dengan generasi baharu. MPV untuk generasi Y.
@muhd_gt
Sumber : http://www.GearTinggi.com
Blog : http://eocm-malaysia.blogspot.com/
EXORA OWNERS' CLUB MOTORSPORT ( EOCM ) adalah sebuah Kelab Permotoran. Telah didaftarkan di bawah Akta Pesuruhjaya Sukan Malaysia ( PJS ) di bawah naugan Kementerian Belia & Sukan ( KBS ) pada 05 April 2012. No Sijil Pendaftaran : 5337/2012. Yuran keahlian peserta adalah sebanyak RM30.00 bagi keahlian Seumur Hidup dan TIADA Yuran Bulanan mahupun Yuran Tahunan.
0 Comments
Penafian : Sebarang maklumbalas yang dikemukakan oleh "tukang-komen" BUKAN mewakili maksud yang dipersetujui oleh seluruh warga kerja eocm-malaysia secara langsung mahupon tidak langsung, sebaliknya adalah merujuk kepada maksud tersurat dan tersirat "tukang-komen" sendiri. Pihak kami tidak boleh dipertanggungjawabkan dan semua ulasan adalah tanggungjawab sendiri.