Ilmu Akhir Zaman




Exora turbo lebih relevan /// Oleh Yanti Zolidia Kassim

UMUM sudah mengetahui akan kehadiran MPV pertama rekaan dan buatan anak tempatan, Proton Exora. Dilancarkan dua tahun yang lalu, Exora dikatakan menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia dari sebuah MPV. Rekaan yang modern dan sporty, kabin yang luas untuk tujuh penumpang dan kargonya serta kadar penggunaan bahan bakar yang boleh mampu.

Namun ketiadaan enjin yang sesuai membuatkan masih ada lagi yang kurang meminati Exora dengan alasan ia masih kurang bermaya di cerun-cerun bukit, walhal prestasinya hampir sama dengan MPV 2-liter buatan Jepun dengan casis ladder-frame. Apapun, Proton berusaha gigih untuk memuaskan kehendak pasaran dan hasilnya ialah enjin CFE yang baru dan lebih bertenaga.
Hanya dipasang pada variasi premium Exora, Bold dan Prime, enjin Charged Fuel Eficiency (CFE) dilengkapi dengan sistem turbo untuk menghasilkan sebanyak 138hp dan tork pada 205Nm. Sebenarnya, enjin CFE ini diasaskan dari enin Campro biasa, tetapi dengan perubahan sebanyak 70 peratus, ia boleh dikatakan sebuah enjin baru.

Pembaharuan terdiri daripada unit turbo kecil dari Borg Warner model KP39 yang sudah terbukti penggunaannya (ia turut digunakan oleh Volkswagen dan Audi), aci-engkol (crank shaft) dan rod penyambung (con rod) yang diperkukuhkan serta sistem peyejukan yang dikemaskini. Bore dikekalkan sama tetapi stroke telah pun diubah. Enjin CFE sebenarnya berkapasiti lebih rendah dari enjin Campro CPS – 1,597cc ke 1,561cc. Boost dibiarkan rendah, pada sekitar 0.75 bar melampaui tekanan atmosfera. Transmisi juga diubah kepada versi CVT dari Punch Engineering, yang telah pun digunakan oleh Proton Saga FLX sekarang.

Dari segi luaran, Bold dan Prime mendapat suntikan kosmetik yang penulis kira memang berhasil. Rekabentuk bumper baru yang lengkap dengan ducting (corong) di kiri dan kanan serta bodykit baru dan lampu depan belakang yang digelapkan menjadikan Exora ini kelihatan sedikit agresif. Warna coklat metalik juga seperti serasi dengan rekaan keseluruhan MPV ini; memperlihatkan lekuk dan garisan yang sebelum ini sedikit tersorok. Tayar dan roda juga telah dinaikkan saiz kepada 205/55 R16. Satu tindakan bijak kerana ia kini nampak lebih gah.

Di bahagian dalam, perubahan lebih kepada pertukaran warna panel yang lebih gelap dan balutan kulit yang lebih bermaya. Panel plastik di papan pemuka turut diubah konsepnya. Untuk model Bold, ia mengekalkan konsep tujuh tempat duduk tetapi bagi model Prime, ia lebih mewah dengan enam tempat duduk (barisan kedua ditukar kepada dua kerusi kapten, seperti kerusi pemandu dan penumpang hadapan).

Prime juga mendapat kemasan dan aksesori yang lebih mewah, sesuai dengan konsep premium yang dibawanya. Model yang dipandu uji oleh Auto Anda (AA) selama enam hari ini ialah dari variasi Bold, yang dijangkakan akan lebih popular dari Prime.

Kualiti buatan dari Proton tampak matang dan “refinement” juga sudah bertambah baik. Mungkin masih ada lagi ruang untuk kemajuan. Antaranya ialah kesenyapan kabin yang masih boleh ditingkatkan. Mungkin bahan kedap bunyi yang lebih baik boleh digunakan di tempat-tempat yang sesuai, seperti di pangkal tiang A (A-pillar) dan bulkhead.

Juga sistem DVD yang menggunakan frekuensi radio untuk berhubung dengan sistem audio. Melecehkan bila memandu ke luar kawasan. Lebih sesuai jika digunakan kabel sambungan biasa. Tahniah kerana Proton sudah boleh menggunakan paparan meter bercahaya ala Toyota. Namun cadangan penulis ialah tiap kali lampu besar digunakan, lampu amaran berwarna hijau patut diberikan agar pengguna tahu bahawa lampu utama sedang menyala. Jika tidak, pasti akan ada banyak kes di mana lampu tidak dipasang ketika memandu di sebelah malam. Mujur juga ada amaran buzzer jika kunci dicabut dengan lampu terpasang.

Selain dari itu, sistem audio lengkap dengan Bluetooth, pemain DVD serta skrin LCD pada siling tengah dan kamera undur melengkapkan MPV keluarga ini. Jika dikaji, enjin Campro CFE turbo hanya menghasilkan 13hp lebih kuasa kuda dari enjin Campro CPS tanpa turbo. Tetapi, dengan kuasa kuda maksimum kini tercapai dari putaran RPM yang lebih rendah (dari 6,500 RPM ke 5,00 RPM) dan juga lambakan tork setinggi 205Nm dari 2,000 RPM ke 4,000 RPM, pemanduan menjadi sangat menyeronokkan.

Digabungkan pula dengan sistem transmisi CVT dan teknologi injap VVT yang telah ditala untuk enjin CFE, pecutan menjadi tangkas untuk MPV yang jauh lebih besar dari kelompok Toyota Wish dan Honda Stream. Oleh kerana pengecas turbo yang digunakan ialah dari jenis Low Pressure Turbo dengan saiz turbin yang rendah, hampir tiada turbo-lag dapat dirasakan oleh penulis. Ini bagus kerana pada putaran RPM yang rendah, sistem VVT memastikan enjin masih bertenaga.

Sistem suspensi talaan Proton dengan sentuhan Lotus itu pula menampakkan kematangan syarikat nasional ini dalam menghasilkan kenderaan bertaraf global. Prestasi pemanduan nyata lebih hebat. Mungkin tayar yang lebih lebar itu membantu, tetapi penulis mendapati cukup sukar untuk mempercayai bahawa MPV sebesar ini mampu mengambil selekoh dengan laju dan stabil tanpa sebarang olengan ekstrim.

Jalan-jalan kampung seperti di kawasan Kuala Klawang dan jalan lama Gombak ke Bentong membuktikan Exora ini lebih hebat dari versi lama, dan juga dari MPV jenama lain yang jauh lebih mahal. Sayang juga kerana tiada mod manual pada sistem transmisi CVT tersebut kerana jika tidak, pasti penulis akan terlupa yang penulis sedang memandu sebuah MPV tujuh tempat duduk, bukannya sedan sporty.

Dengan penumpang dan beban, Exora Bold CFE masih mampu menaiki bukit-bukit tanpa sebarang masalah. Malah, mampu memotong kenderaan lain ketika mendaki bukit. Di trek kosong, Exora Bold CFE mampu mencecah 190km/j (mengikut bacaan speedometer) dan meninggalkan banyak kenderaan lazim terpinga-pinga.

Penulis juga syak sistem brek telah dipertingkatkan kerana prestasi membrek nyata lebih baik. Pedal brek tidak lagi berasa begitu “spongy” dan aktuasi brek lebih sempurna atau “direct”. Bagi penggunaan bahan bakar, Proton menyatakan ia mampu memberikan pulangan sebanyak 7.8L/100km, lebih sedikit dari enjin Campro CPS pada 7.4L/100km. Perbezaan tersebut masih lagi rendah berbanding dengan tenaga tambahan yang diperolehi.

Bila sistem audio dimatikan, masih boleh terdengar siulan unit pengecas turbo berbunyi. Hairan juga penulis kenapa Proton tidak mahu mencanangkan penggunaan turbo pada model ini. Malah, tiada majlis pelancaran besar untuk Exora Bold ini dilakukan. Hanya cukup sekadar siaran di akhbar dan iklan walhal dengan enjin sebaik ini, Exora Bold ialah satu loncatan jauh ke hadapan untuk Proton.
Mungkin Proton tidak yakin penerimaan masyarakat terhadap teknologi turbo tetapi pendapat penulis, pasaran sudah biasa dengan teknologi turbo dari Eropah dan mungkin Proton sepatutnya menggunakan teknologi turbo ini untuk meraih lagi jualan. Apapun, Exora Bold dengan enjin CFE nyata menyeronokkan. Bagi yang kurang yakin dengan kemampuan tempatan, pandu uji Exora Bold dan keyakinan itu pasti bertapak semula!

Spesifikasi

Enjin: Campro CFE 1.6L 16-injap VVT 4-silinder turbo
Kuasa maksimum: 138hp @ 5,000rpm
Tork maksimum: 205Nm @ 2,000rpm – 4,000rpm
Transmisi: CVT

Ciri-ciri: Dua beg udara , ABS, EBD, pre-tensioner, DVD dengan skrin LCD, kamera undur, balutan kulit mewah, suspensi talaan Lotus
Harga: RM79,998 (untuk model Bold)
Sinopsis Auto Anda

Ciri positif :
- Pecutan segar hasil enjin CFE turbo
- Kawalan suspensi mantap
- Ruang kabin luas untuk harganya
- Lengkap dengan sistem DVD

Ciri negatif :
- Plastik kemasan dalam masih boleh diperbaiki
- Kedapan bunyi juga perlu dipertingkatkan

Jom “LIKE” page Auto Anda facebook Auto Anda

Sumber : http://funtastickodesign.wordpress.com



Website : http://www.exoramotorsport.com/
Blog : http://eocm-malaysia.blogspot.com/

EXORA OWNERS' CLUB MOTORSPORT ( EOCM ) adalah sebuah Kelab Permotoran. Telah didaftarkan di bawah Akta Pesuruhjaya Sukan Malaysia ( PJS ) di bawah naugan Kementerian Belia & Sukan ( KBS ) pada 05 April 2012. No Sijil Pendaftaran : 5337/2012. Yuran keahlian peserta adalah sebanyak RM30.00 bagi keahlian Seumur Hidup dan TIADA Yuran Bulanan mahupun Yuran Tahunan.

Post a Comment

0 Comments